Friday, May 2, 2014

Mereka yang dilupakan

Mereka akan menjelma sebaik sahaja pintu-pintu kedai ditutup diwaktu malam. Tiada selimut atau tilam empuk, hanya surat khabar ataupun kotak-kotak yang menjadi alas tempat beradu. Kita gelar mereka golongan gelandangan atau 'the urban poor"... yang menurut definisinya hidup dengan kurang daripada USD1 sehari.Sebagai perbandingan, cuba anda fikir kembali berapa kah jumlah sarapan anda pagi tadi. Kebarangkaliannya adalah lebih daripada RM5. Itu untuk sarapan sahaja, belum dikira minum pagi, makan tengah hari, makan malam dan kudapan lagi. Oh, ada juga trend muda-mudi sekarang yang mesti minum di Starbuck Coffe setiap pagi. Karipap sardin pun dah RM0.50 sekeping. Jadi bayangkan pendapatan sebanyak RM3.20 sehari..itupun jika mereka ada RM3.20 tersebut. Bukan semua adalah pengemis. Ada yang mempunyai pekerjaan, tetapi pendapatan mereka tidak mampu untuk membeli makanan 3 kali sehari, apatah lagi untuk menyewa rumah atau bilik. Maka, kaki-kaki lima menjadi 'hotel' mereka pada setiap malam. Ada yang menagih dadah, ada yang malas bekerja dan mengharapkan sumbangan wang derma sebagai sumber mata pencarian. Masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap golongan ini dan sering melabelkan mereka sebagai sampah masyarakat. Apakah punca sehingga mereka berakhir di jalanan. Ada yang melarikan diri dari keluarga, hilang pekerjaan, di halau oleh keluarga. Ada juga mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan tetapi gagal. Akhirnya mereka menjadi seperti unggas yang berterbangan menuju ke arah ibukota. Semua tahu apakah nasib unggas ini apabila bertemu dengan sumber cahaya tersebut. Walau apapun alasannya, mereka sudah menghuni kaki-kaki lima Kuala Lumpur. Organisasi bukan kerajaan dengan sokongan badan-ban korporat cuba membantu dengan memberi makanan percuma. Walaupun usaha ini tidak mampu untuk menyelesaikan masalah urban poor ini dalam jangka masa yang panjang, sekurang-kuranghya ia dapat meringankan sedikit penderitaan golongan gelandangan ini.
Saya terbaca di akhbar pada hari ini bahawa pengusaha tomato membuang hasil tanaman mereka akibat harga tomato yang merudum jatuh. Tidak lama dahulu, pengusaha ayam membakar anak-anak ayam untuk mengelakkan kejatuhan harga ayam akibat lebihan penawaran. Saya terfikir, apa yang kena dengan dunia ini. Adakah lebih baik lebihan bahan-bahan makanan ini disalurkan kepada orang yang lebih memerlukan. Mengapa pengusaha bahan mentah ini tidak bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan untuk menyalurkan lebihan hasil tanaman mereka kepada golongan gelandangan ini. Pengusaha tanaman ini dapat mengawal jumlah tawaran di pasaran dan pada masa yang sama berbakti kepada masyarakat.
Kita juga tidak terlepas dengan jumlah makanan yang kita bazirkan setiap hari. Ada di antara kita yang tidak makan lauk semalam yang dipanas semula. Ada juga yang memilih makanan atas alasan 'not my taste'...Pernah kah kita merenung perbuatan kita yang membazir rezeki dan membandingkan dengan nasib golongan gelandangan ini. Kenapa masalah gelandangan ini perlu dipandang serius? Kesusahan hidup ini akan mendorong mereka untuk melakukan jenayah untuk terus hidup. Maka kadar jenayah seperti dadah, samun, dan pelacuran akan meningkat. Namun begitu, usaha untuk mengelurkan golongan ini dari situasi mereka sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, memerlukan komitmen yang tinggi dan perbelanjaan yang tinggi..kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan daripada wang cukai yang dibayar oleh sebahagian kecil rakyat. Kemungkinan besar, solusi permasalahn ini boleh didapati dengan mengenal pasti punca mengapa golongan ini berada di jalanan pada mulanya. Usaha mengawal punca mereka berada di jalanan mungkin boleh mengurangkan populasi golongan ini. Kita sentiasa menutup mata pada permasalahn ini kerana kita tidak perlu dan tidak mahu melihat mereka. Mereka hanya keluar di waktu malam ketika kita enak dibuai mimpi di atas tilam empuk, atau di atas sofa menonton televisyen, mahupun sedang bersorak ria menonton bola sepak di kedai mamak. Golongan gelandangan ini adalah 'someone else problem'...kerana mereka adalah, golongan mereka yang dilupakan...

No comments:

Post a Comment